Liyana Mohamed Fizi[1] (lahir 14 September 1983)[2] merupakan seorang penyanyi, pemuzik, penulis lirik, penggubah lagu dan penerbit rakamanMalaysia.[3] Beliau mula menceburi genre muzik indie pada tahun 2006 dan terkenal sebagai penyanyi utama kumpulan Estrella yang disertainya dari selama empat tahun serta berjaya meraih lapan pencalonan untuk Voize Independent Music Awards pada 2008.[4][5][6]
Sebagai artis solo, beliau pernah melancarkan album sulungnya, Between the Lines pada September 2011. Album ini mengandungi 10 lagu termasuk yang digubah olehnya.[4] Album ini diterbitkan di bawah pengurusannya sendiri iaitu Liyana Fizi Music Publishing dan diedarkan oleh Soundscape Records. Lagu Jatuh telah dimuatkan dalam album runut bunyi bagi filem Azura arahan Aziz M. Osman.[7]
Kehidupan awal
Liyana dilahirkan pada 14 September 1983 di Hospital Kuala Lumpur dan merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan anak perempuan tunggal; abang sulung beliau ialah Wafi manakala adik bongsunya ialah Aqil yang menghidap penyakit Sindrom Down.[8] Beliau pernah menetap seketika di Brunei ketika berusia tiga tahun. Kemudian, beliau sekeluarga termasuklah neneknya berpindah ke Shah Alam dan membesar di sana.[4]
Nenek beliau berasal dari Negeri Sembilan dan mempunyai darah keturunan Jakun, Jawa dan Cina manakala datuk tirinya pula berasal dari Melaka. Datuk tirinya telah membesarkan ibunya bersama-sama beliau. Sebelum itu, neneknya pernah berkahwin dengan seorang rakyat Belanda yang bernama Peter Polderman. Polderman merupakan datuk kandung Liyana. Pada ketika itu, Polderman tinggal dan bekerja di Tanah Melayu (kini Malaysia). Untuk keluarga sebelah ibu, mereka sekeluarga mengamalkan Adat Perpatih. Bapanya berasal dari Kedah dan mempunyai keturunan Siam, Mamak dan Arab.[4]
Beliau merupakan salah seorang ahli kumpulan jaz Malaysia, Estrella sewaktu penubuhannya pada 2006, yang mana beliau merupakan vokalis utamanya merangkap pemain gitar bersama-sama dengan Jeffrey Little (dram, perkusi), Ariff Zahidee (bes) dan Shamsul Idzhar (gitar). Album studio pertama kumpulan ini, menggunakan nama kumpulan ini sebagai judul album, dikeluarkan pada 28 Disember 2007 di bawah syarikat rakaman Laguna Records (kini Laguna Music). Lagu "Stay", "Ternyata" dan "Take It Slow" telah dikeluarkan sebagai single untuk album ini dan seterusnya muzik video untuk ketiga-tiga lagu tersebut diterbitkan.
Perubahan dalaman Estrella dibuat oleh syarikat rakaman mereka Laguna Music mendorong Liyana untuk meninggalkan kumpulan itu selepas tamat kontrak antara band dan label mereka. Sejak itu, beliau mula mengadakan persembahan solo di samping sesionis band tetap.[9]
Kerjaya solo
Selepas Estrella dibubarkan pada 2010, Liyana mengambil keputusan untuk meneruskan kerjaya muziknya secara solo dan menubuhkan syarikat pengurusannya sendiri, Liyana Fizi Music Publishing pada awal 2011, pada September tahun sama, album solo pertamanya, Between the Lines telah dilancarkan dengan lagu "Light Writing" sebagai single pertama.[10]
Beliau tampil bersama kumpulan Kyoto Protocol menerusi lagu bertajuk "Jelita" yang dikeluarkan pada 2012.[11]
Liyana berkahwin dengan jurugambar, Firdaus Karim pada 30 September 2013.[13] Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 14 September 2013, iaitu bersempena dengan ulang tahun kelahiran beliau yang ke-30.[14][15]