Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan bersama Bintang: Misha Omar merupakan konsert anjuran dewan seni persembahan bertaraf dunia Istana Budaya yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 30 Oktober 2021 di Panggung Sari [1]. Konsert ini menampilkan penyanyi terkenal Misha Omar secara solo dalam rangkaian lagu-lagu popularnya digubah khas oleh Ramli M. S. dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di bawah pimpinan ketua orkestra Nasran Nawi [2].
Latar Belakang
Semenjak dilancarkan pada 28 Ogos 1993, Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) telah mengadakan pelbagai corak persembahan selaras dengan kehendak semasa, dalam dan luar negara. Selain memainkan lagu-lagu klasikal barat, opera, ballet dan muzikal, orkestra ini juga sentiasa mendapat perhatian apabila banyak mengiringi artis-artis terkemuka tanah air malah turut dijemput untuk menjayakan konsert ternama seperti “Harry Potter and the Philosopher’s Stone in Concert 2017″, “Distant Worlds” dan banyak lagi. Antara persembahan OSK di luar negara adalah di Esplanade, Singapura (2003), Tokyo dan Osaka, Jepun sempena “Asia Orchestra Week 2004”. Hubungan erat OSK dengan Suruhanjaya-Suruhanjaya Tinggi Kedutaan Asing menjadikan populariti OSK meningkat dan orkestra ini turut menerima pimpinan dari konduktor undangan terkenal dunia. Kini, OSK dianggotai seramai 43 Ahli Muzik profesional sepenuh masa [3].
Konsert ini merupakan persembahan solo pertama Misha bersama OSK dan di pentas Istana Budaya, dan penampilan beliau kali kedua bersama orkestra itu setelah menyertai Konsert Bangkit Malaysia pada 2020 [4][5]. Misha pernah membuat beberapa persembahan berskala besar bersama artis lain di Istana Budaya sejak kali pertama membuat persembahan di pentas berprestij itu pada 2007 untuk Konsert Simfoni Tani[6]. Misha juga menjadi artis tempatan mahupun antarabangsa pertama yang mengambil risiko membuat konsert berbayar setelah pandemik COVID-19[7]. Untuk konsert OSK bersama Misha, seramai 80 pemuzik gabungan OSK dan jemputan akan mengiringi persembahan [8]. Maestro muzik Ramli M. S. dijemput khas untuk menggubah muzik bersama OSK dan mengiringi persembahan dalam segmen khas bersama Misha[9].
Maklumat Konsert
Konsert ini merupakan konsert solo pertama artis Malaysia yang diadakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia 2020-21 dimana ia dilaksanakan secara ketat dalam norma baharu yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara Malaysia. Misha ditawarkan untuk membuat persembahan ini pada April 2021, namun projek ini ditangguhkan ke Oktober setelah Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 diumumkan pada Jun 2021. Melalui konsert ini, Istana Budaya berharap dapat terus memberikan peluang dan ruang kepada penggiat seni untuk membangunkan semula industri kreatif negara yang merundum akibat COVID-19 [10].
Susunan muzik digubah sepenuhnya oleh Ramli M. S. dengan orkestra pimpinan Nasran Nawi manakala Syafinaz Selamat mengambil tugas sebagai pengarah vokal serta Pat Ibrahim menata persembahan. Ini merupakan kerjasama pertama kali buat Misha dan Pat [11].
Tiket & Kawalan SOP
Tiket berharga RM98, RM108 dan RM118 hanya boleh dibeli secara tunai (bersemuka) bermula 20 Oktober 2021 di Kaunter Box Office, Istana Budaya dari pukul 11 pagi hingga 4 petang memandangkan setiap pembeli perlu mengesahkan maklumat peribadi dan vaksinasi [12]. Tiket konsert itu mula dijual pada 20 Oktober 2021 dan habis dijual dalam tempoh 4 jam. Namun kerana pematuhan SOP, tempat duduk terhad dan tidak dijual secara dalam talian, ramai peminat yang telah beratur gagal untuk mendapatkan tiket sehingga Misha sendiri menjadi mangsa kecaman peminat terhadap sistem penjualan tiket secara manual oleh Istana Budaya [13]. Pengarah Artistik Istana Budaya, Encik Zaifri Husin mengambil maklum masalah berkenaan dan memohon maaf atas insiden yang berlaku serta memaklumkan sistem penjualan tiket dalam talian akan dimulakan menjelang awal tahun 2022 [14][15].
Orang ramai yang ingin menyaksikan konsert ini perlu lengkap divaksin, memakai pelitup muka sepanjang persembahan dan mematuhi SOP MKN serta peraturan sedia ada di Istana Budaya. Kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas dibenarkan menonton dengan syarat ditemani bu bapa atau penjaga yang telah lengkap dua dos vaksinasi. Pihak Istana Budaya berhak menghalang orang ramai yang bergejala dan tidak mematuhi SOP daripada memasuki premis [16].
Konsert ini mendapat komen positif kerana keupayaan Misha dan OSK mengemudi persembahan selama dua jam biarpun tanpa sebarang gimik mahupun persembahan skala pentas ekoran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia 2020-21 . Vokal Misha dilihat jitu dan ampuh disamping keupayaannya menghiburkan penonton dengan anekdot dan penceritaan yang bersahaja tanpa meminggirkan elemen penghayatan dalam setiap lagu dipersembahkan [20]. Penampilan Misha dengan dua busana rekaan Michael Ong dan Christian Dior juga mendapat pujian pemerhati fesyen [21].