Album Kami Bersamamu Zaitun Sameon adalah satu album khas yang dihasilkan pada tahun 1992 sebagai sokongan pada penyanyi Zaitun Sameon yang telah terlibat di dalam kemalangan jalanraya di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Batang Kali. Kemalangan tersebut turut meragut nyawa anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang berusia 13 tahun di Batang Kali, Selangor pada 21 Februari 1990. Dalam kemalangan tersebut, Van yang mereka naiki telah dilanggar oleh lori. Seorang lagi yang turut meninggal dunia ialah pemuzik pengiring Zaiton, Ismail Shaari. Beliau telah tidak sedarkan diri selama 11 tahun (Feb 1990-Julai 2001).
Album ini diterbitkan oleh BMG sebagai sokongan dari artis-artis yang terlibat. Penghasilan album ini disertai oleh ramai penyanyi tanahair bagi memberi sokongan mereka terhadap penyanyi Zaitun Sameon, seperti Ramlah Ram, Zur Eda, Wings, M. Nasir, Lilian, Ziana Zain, Search, 4U2C dan ramai lagi artis BMG. Album ini diterbitkan pada tahun 1992 oleh penerbit Rahim Othman, M. Nasir dan Man Senoi.
Dalam album ini, M. Nasir turut menyumbangkan satu lagu yang dinyanyikan oleh beliau sendiri, bertajuk Kenangan, sementara Kumpulan Wings, Malaysia juga menampilkan lagu Ekspo Imiginasi yang diterbitkan khusus untuk album ini sebelum dirakam semula di dalam album Wings & Superfriends. Penyanyi Lilian muncul buat pertama kali di dalam album ini.