Islam di Rwanda

Islam pertama kali dibawa masuk ke Rwanda oleh pedagang-pedagang beragama Islam dari Pantai Timur Afrika pada kurun ke-18. Sejak ia dibawa masuk, orang Islam merupakan golongan minoriti di sana manakala Gereja Rom Katolik yang diperkenalkan kepada orang Rwanda semasa Pencerobohan Orang Belgium, penjajahan dan kolonisasi mubaligh-mubaligh Perancis pada akhir kurun ke-19 memiliki pengikut yang lebih ramai.

Untuk pertama kalinya dalam sejarah Islam di Rwanda, Islam diberikan hak dan kebebasan yang sama sebagaimana agama Kristian. Anggaran menunjukkan bahawa terdapat bilangan orang Islam yang setara di kalangan Kaum Hutu dan juga Kaum Tutsi.[1] Anggaran tersebut tidak dapat ditentusahkan disebabkan ketika berlakunya pembunuhan kaum, kerajaan telah mengharamkan semua perbincangan mengenai etnik di Rwanda.

Sejarah

Berbanding negara-negara Afrika Timur seperti Tanzania, Kenya, dan Uganda, sejarah Islam di Rwanda masih muda. Meskipun sejumlah kecil sumber-sumber bertulis mengenai sejarahnya boleh didapati, ada pihak mengatakan bahawa Islam datang melalui pedagang-pedagang Arab yang pertama kali memasuki negara tersebut pada tahun 1901. Pihak lain pula mengatakan bahawa Islam datang ketika orang Eropah membawa masuk kerani-kerani, penolong-penolong pentadbiran dan peniaga-peniaga beragama Islam dari pantai Tanzania yang didiami penduduk berbahasa Swahili. Islam dikukuhkan lagi oleh peniaga-peniaga beragama Islam dari India yang mengahwini penduduk tempatan. Orang Rwanda telah membina masjid mereka yang pertama pada tahun 1913.[1] Masjid ini dikenali sebagai Masjid al-Fatah.[2]

Sepanjang sejarahnya, banyak usaha telah dilakukan untuk menghalang penyebaran Islam di Rwanda. Usaha-usaha ini secara amnya mengekploitasi sentimen anti-Arab, dan mempamerkan orang Islam sebagai orang asing. Mubaligh Katolik sering kali berusaha keras untuk menghadapi apa yang dilihat mereka sebagai pengaruh agama-agama saingan seperti Islam dan Protestan.[3]

Selanjutnya orang Islam diketepikan berdasarkan fakta bahawa kebanyakan orang Islam menetap di kawasan bandar sedangkan 90 peratus populasi tinggal di kawasan luar bandar. Disebabkan tiada peniaga Arab mahupun India yang cuba menyebarkan kepercayaan mereka, semangat pengajaran di kalangan orang Islam adalah rendah. Hanya sebilangan kecil kemasukan baru yang berlaku, kebanyakannya di kalangan populasi bandar yang diketepikan: wanita yang berkahwin dengan orang asing, anak luar nikah dan anak yatim. Malahan kemasukan ini pun kadang kala bersifat luaran, yang digerakkan oleh keinginan terhadap jaminan keselamatan sosial dan ekonomi yang disediakan oleh orang Islam, berbanding keyakinan terhadap ajaran Islam.[4]

Di bawah pentadbiran Belgium, orang Islam di Rwanda pada tahap tertentu telah diketepikan. Disebabkan orang Islam tidak disenangi gereja Katolik yang mengekalkan pengaruh besar ke atas negara tersebut, orang Islam kerap kali dipinggirkan daripada mendapat pendidikan dan kerja-kerja penting dalam kerajaan. Akibatnya pekerjaan orang Islam sebahagian besarnya terbatas pada penglibatan dalam perniagaan runcit, dan kerja-kerja sebagai pemandu.[3]

Pada tahun 1960, bekas menteri kerajaan Sebazungu telah mengarahkan agar kuarter dan masjid orang Islam di Rwamagana dibakar. Berikutan peristiwa ini, orang Islam diselubungi ketakutan dan ramai antara mereka yang melarikan diri ke negara-negara jiran. Dikatakan bahawa pihak gereja Katolik terlibat dalam peristiwa ini yang memburukkan lagi ketegangan antara orang Islam dengan orang Kristian.[3]

Sebelum berlakunya Pembunuhan Kaum 1994, orang Islam dipandang hina kerana mereka dilihat sebagai golongan peniaga di dalam sebuah negara yang memandang tinggi golongan petani. Populasi orang Islam sebelum pembunuhan kaum tersebut adalah sebanyak 4% yang luarbiasa rendah berbanding negara-negara jirannya.

Pembunuhan etnik di Rwanda

Semasa pembunuhan etnik di Rwanda berlangsung, Islam tidak menjadi sasaran utama pembunuhan kaum tersebut. Orang Islam mampu melindungi kebanyakan orang Islam daripada pembunuhan beramai-ramai itu, dan juga ramai orang Kaum Tutsi yang tidak beragama Islam. Menurut laporan Marc Lacey dalam The New York Times, tempat yang paling selamat semasa berlangsungnya pembunuhan kaum itu ialah kejiranan orang Islam. Di Kigali, ramai orang Rwanda yang beragama Islam berkumpul bersama di kejiranan Biryogo. Apabila militia Kaum Hutu mengelilingi tempat tersebut, Kaum Hutu yang beragama Islam tidak memberi kerjasama dengan pembunuh-pembunuh Kaum Hutu. Kaum Hutu yang beragama Islam mengatakan bahawa mereka lebih terikat kuat melalui agama berbanding kepuakan, dan dengan itu puak Tutsi yang beragama Islam terselamat.[5] Ketika Kaum Hutu yang beragama Islam menyelamatkan kebanyakan Kaum Tutsi yang beragama Islam, mereka juga telah menyelamatkan beribu-beribu Kaum Tutsi yang beragama Kristian. Para imam secara terang-terangan mengecam pembunuhan itu sambil menggesa jemaah mereka supaya tidak turut serta dalam pembunuhan beramai-ramai itu.[1] Pun begitu, terdapat tuduhan terhadap seorang Islam, Hassan Ngeze, bahawa dia menghasut Kaum Hutu supaya bertindak ganas terhadap Kaum Tutsi.[3]

Terdapat hanya sedikit insiden Kaum Tutsi diserang di dalam masjid. Contoh yang paling diketahui berlaku di Masjid Jami Nyamirambo yang beratus-ratus orang puak Tutsi berkumpul untuk mencari perlindungan. Para pelarian di dalam masjid tersebut bertarung dengan militan Kaum Hutu dengan menggunakan batu, busur dan panah lalu memberi tentangan sengit kepada askar-askar dan Militan Interahamwe. Hanya apabila askar-askar itu menyerang dengan mesingan barulah Militan Interahamwe mampu memasuki masjid itu dan membunuh pelarian-pelarian yang berada di dalamnya.[1]

Dalam sesetengah kes, Kaum Hutu takut mencari Kaum Tutsi di kuarter orang Islam. Mitos dipercayai secara meluas bahawa orang Islam dan masjid mereka dilindungi oleh kuasa sihir Islam yang sangat mujarab, dan ketakutan terhadap jin telah menyelamatkan nyawa Kaum Tutsi yang mencari perlindungan pada orang Islam. Dalam satu kes, sebuah masjid hendak dibakar di Cyangugu, tetapi para pembakar itu tidak memusnahkan masjid tersebut dan penghuninya sebaliknya melarikan diri kerana mereka percaya jin berada di dalam masjid tersebut. Dalam sesetengah kes, apabila seorang Islam cenderung pada pembunuhan, seorang Kaum Tutsi memberi keterangan seperti berikut: "Sekiranya seorang Kaum Hutu yang beragama Islam cuba membunuh seseorang yang bersembunyi di kejiranan kami, pertama sekali dia akan diminta untuk mengambil al-Quran dan mengoyak-ngoyaknya untuk menolak kepercayaannya. Tiada seorang Islam pun yang berani mencabuli Kitab Suci tersebut dan dengan itu telah menyelamatkan banyak nyawa kami."[3]

Selepas pembunuhan kaum

Lihat juga Akibat Pembunuhan etnik di Rwanda

Bilangan orang Islam Rwanda meningkat selepas Pembunuhan etnik pada tahun 1994 kesan daripada kemasukan ke dalam agama Islam dalam jumlah yang besar. Salah satu sebab yang mungkin ialah ramai orang Islam telah memberi perlindungan kepada pelarian-pelarian Kaum Hutu dan Kaum Tutsi. Sesetengah pihak menjelaskan bahawa mereka memeluk Islam kerana peranan yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin Katolik dan Protestan dalam pembunuhan kaum tersebut. Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia telah mencatatkan beberapa insiden pendeta-pendeta Kristian memberi kebenaran kepada Kaum Tutsi untuk mendapatkan perlindungan di dalam gereja, kemudian menyerahkan mereka kepada skuad pembunuh Hutu. Contoh-contoh paderi-paderi Hutu yang menggalakkan jemaah mereka supaya membunuh Kaum Tutsi juga telah dicatatkan.[6]

Laporan-laporan perseorangan oleh beberapa orang Kaum Tutsi yang memeluk Islam demi keselamatan diri kerana mereka takut akan pembunuhan tindak balas yang berterusan angkara pelampau Kaum Hutu, dan tahu bahawa orang Islam dapat melindungi mereka daripada angkara sebegitu. Begitu juga ramai puak Hutu yang memeluk Islam untuk mencari "penyucian". Ramai kaum Hutu mahu melupakan masa silam mereka yang diselubungi keganasan dan tidak mahu "mencemari tangan mereka dengan darah". Terdapat sebilangan kecil contoh terasing yang menunjukkan Kaum Hutu memeluk Islam dengan harapan bahawa mereka dapat bersembunyi di kalangan masyarakat orang Islam dan dengan itu terlepas daripada tangkapan.[1][7]

Kadar pertukaran agama menurun pada tahun 1997. Menurut mufti Rwanda, masyarakat Islam tidak menyaksikan sebarang peningkatan dalam pertukaran agama ke dalam Islam pada tahun 2002-2003.[8] Agama Kristian masih lagi menjadi agama utama. Mazhab Katolik (yang tiba pada akhir kurun ke-19 bersama-sama order White Father dalam Gereja Rom Katolik) masih lagi tertanam dalam budaya negara tersebut.[5] Menurut pemimpin-pemimpin Islam Rwanda, orang Islam membentuk 14% daripada 8.2 juta orang di Rwanda, negara Afrika paling Katolik, dua kali ganda lebih ramai berbanding sebelum pembunuhan itu bermula.[6]

Kegiatan

Rujukan

  1. ^ a b c d e Klusener, Rainer (May 2005). "Islam in Rwanda". United States Institute of Peace. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  2. ^ Rodrique Ngowi. "Rwandan Muslims". Associated press.
  3. ^ a b c d e Kubai, Anne (April 2007). "Walking a Tightrope: Christians and Muslims in Post-Genocide Rwanda". Islam and Christian-Muslim Relations. Routledge, part of the Taylor & Francis Group. 18 (2): 219–235. doi:10.1080/09596410701214076. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  4. ^ Bulabubi, S. Bakatu (May, 1991). "Review: L'Islam et les "Swahili" au Rwanda". Journal of Religion in Africa. 21 (2): 176–177. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan); Check date values in: |date= (bantuan)
  5. ^ a b Lacey, Marc (April 7, 2004). "Ten Years After Horror, Rwandans Turn to Islam". The New York Times. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  6. ^ a b Emily Wax . "Islam Attracting Many Survivors of Rwanda Genocide," Washington Post. Monday, September 23, 2002, Page A10
  7. ^ Walker, Robert (1 April, 2004). "Rwanda's religious reflections" (dalam bahasa English). BBC. Check date values in: |date= (bantuan)CS1 maint: unrecognized language (link)
  8. ^ Rwanda - International Religious Freedom Report 2003, 2003 Report on International Religious Freedom.

Strategi Solo vs Squad di Free Fire: Cara Menang Mudah!