Dewan Perwakilan Daerah (DPD) ialah dewan negara dalam sistem ketatanegaraan Republik Indonesia yang merupakan wakil-wakil daerah provinsi dan dipilih melalui Pilihan Raya Umum. DPD harus tidak dikelirukan dengan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD).
DPD mempunyai peranan seperti yang berikut:
- Mengajukan cadangan, diikuti dengan pembahasan dan pemberian pertimbangan yang berkaitan dengan bidang perundangan tertentu
- Mengawasi pelaksanaan undang-undang tertentu.
Bilangan anggota DPD dari setiap provinsi ialah 4 orang dan dengan demikian, jumlah anggota DPD pada saat ini ialah 128 orang. Anggota DPD berkhidmat selama lima tahun, dengan akhir tempoh mereka berbetulan dengan waktu anggota-anggota DPD yang baru mengangkat sumpah.
Pimpinan DPD
Pimpinan DPD terdiri daripada seorang ketua dan 2 orang timbalan ketua. Selain daripada bertugas sebagai pimpinan sidang, pimpinan DPD juga berperanan sebagai jurucakap DPD. Ketua DPD pada saat ini ialah La Nyalla Mattalitti.
Tugas, bidang kuasa, dan hak
Tugas dan bidang kuasa DPD, antara lain, adalah seperti yang berikut:
- Mengajukan kepada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) rang undang-undang yang berkaitan dengan autonomi daerah; hubungan antara pusat dan daerah; pembentukan, pemekaran, dan penggabungan daerah; pengelolaan sumber alam, dan sumber ekonomi yang lain; serta rang undang-undang yang berkaitan dengan pertimbangan kewangan pusat dan daerah. DPR kemudian mengundang DPD untuk membahaskan rang undang-undang tersebut.
- Memberikan pertimbangan kepada DPR tentang pemilihan anggota Badan Pemeriksa Kewangan (BPK).
- Menerima hasil pemeriksaan kewangan negara daripada Badan Pemeriksa Kewangan untuk dijadikan bahan untuk membuat pertimbangan kepada DPR tentang rang undang-undang yang berkaitan dengan APBN.
- Memberikan pertimbangan kepada DPR tentang rang undang-undang yang berkaitan dengan cukai, pendidikan, dan agama.
- Mengawasi pelaksanaan undang-undang tentang autonomi daerah; pembentukan, pemekaran, dan penggabungan daerah; hubungan antara pusat dan daerah; pengelolaan sumber alam, dan sumber ekonomi yang lain; pelaksanaan belanjawan daerah (APBD), cukai, pendidikan, dan agama.
Anggota-anggota DPD juga memiliki hak tafsiran, mengundi, mengutarakan pendapat, cadangan dan pertanyaan, selain daripada memiliki hak membela diri, hak kekebalan, dan hak protokol.
Alat-alat DPD
Alat-alat DPD terdiri daripada Pimpinan, Jawatankuasa Ad Hoc, Badan Kehormatan, dan jawatankuasa-jawatankuasa lain yang diperlukan.
Sekretariat DPD
Sekretariat DPD dibentuk melalui Keputusan Presiden untuk mendukung kelancaran pelaksanaan tugas DPD, dengan kakitangannya terdiri daripada pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam. Sekretariat ini dipimpin oleh seorang Setiausaha Agung yang dilantik dan diberhentikan menurut Keputusan Presiden atas cadangan Pimpinan DPD.
Kekebalan
Anggota-anggota DPD tidak boleh didakwa di mahkamah atas pernyataan, pertanyaan, atau pendapat mereka yang dikemukakan dalam sidang-sidang DPD, baik secara lisan mahupun secara bertulis, asalkan ia tidak bertentangan dengan Peraturan Tata Tertib dan kod etika lembaga masing-masing. Kekebalan tersebut tidak merangkumi keadaan-keadaan yang mana seseorang anggota mengumumkan maklumat-maklumat yang telah diberikan dalam sidang tertutup yang harus dirahsiakan atau hal-hal yang lain yang mendedahkan rahsia negara.
Pautan rasmi