Daerah Kulai ditadbir oleh Majlis Perbandaran Kulai. Ia terbentuk hasil daripada naik taraf sub-daerah Kulai kepada satu daerah penuh dan diwartakan pada 29 Mac 2007 dan dinamakan sebagai daerah Kulaijaya. Perasmian daerah baru ini telah diisytiharkan pada 21 Jun 2008 oleh Sultan Iskandar ibni Sultan Ismail Sultan Johor pada ketika itu.
Pada 28 Ogos 2015, Sultan Johor Sultan Ibrahim telah menitahkan Kerajaan Johor untuk menukar semula nama daerah Kulaijaya kepada nama asalnya iaitu Kulai dengan serta-merta[3].
Daerah Kulai terbahagi kepada empat mukim dan sebuah bandar;
Iklim di daerah ini ialah iklim khatulistiwa (Af).[4] Purata suhu ialah 27.3 °C (81.1 °F). Bulan Mei merupakan bulan yang paling panas di kawasan ini dengan suhu mencecah 28 °C (82.4 °F). Bulan Disember dikategorikan sebagai bulan paling sejuk dengan suhu 26.5 °C (79.7 °F).[4] Purata kerpasan di Kulai adalah 2619.6 milimeter pertahun. Bulan Disember merupakan bulan paling tinggi kerpasan dengan 429.1 milimeter manakala bulan yang paling rendah pula Julai dengan 149.1 milimeter.[4]
Berdasarkan bancian Malaysia 2020 jumlah penduduk di Daerah Kulai ialah seramai 329,497 orang dengan kepadatan penduduk 436 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk padat. Lebih separuh penduduk di daerah ini merupakan Bumiputera, membentuk lebih 55 peratus penduduk. Kaum kedua terbesar merupakan kaum Cina diikuti India. Lebih 14 peratus penduduk merupakan bukan warganegara.[5]
Nisbah penduduk lelaki kepada penduduk wanita ialah 117:100. Terdapat 83,756 tempat kediaman dengan sebanyak 77,199 isi rumah. Purata saiz isi rumah pula dicatatkan seramai empat orang dalam sebuah rumah. Lebih 246 ribu penduduk dalam kalangan umur bekerja, 68 ribu dalam golongan muda dan selebihnya 14 ribu orang merupakan warga tua.
Majoriti penduduk di daerah Kulai beragama Islam yang terdiri daripada penduduk berbangsa Melayu dan beberapa etnik lain. Agama kedua terbesar merupakan agama Buddha yang kebanyakannya dianuti penduduk berbangsa Cina. Agama ketiga terbesar merupakan agama Hindu yang majoritinya terdiri daripada penduduk berbangsa India. Penduduk berbangsa bumiputera lain dan etnik yang lain terdiri daripada mereka yang menganut Kristian dan beberapa agama lain serta tidak beragama.[5]
Kebanyakan penduduk tempatan bergiat dalam sektor pertanian, terutamanya di ladang getah dan kelapa sawit. Ada juga yang berniaga secara kecil-kecilan sepanjang jalan besar. Daerah Kulai mempunyai antara penempatan FELDA terawal di negeri Johor iaitu Felda Taib Andak. Daerah ini masih merupakan antara kawasan penanaman kelapa sawit yang paling utama berikutan banyak ladang kelapa sawit di daerah ini.
Keadaan ekonomi di Kulai semakin berkembang berikutan pertambahan kilang yang dibina di Kulai dan Senai. Daerah Kulai juga berada di dalam kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).