Baginda ialah sebuah filem komedi drama Malaysia 1997 arahan Aziz M. Osman. Filem yang dibintangi oleh Azean Irdawaty, Jalil Hamid dan Jalaluddin Hassan ini merupakan filem mengangkat tema kesedaran guru memilih antara niat ikhlas untuk mengajar atau wang ringgit.[1]
Sinopsis
Kisah ini bemula apabila seorang guru dari sebuah sekolah swasta, iaitu kolej ternama, Cikgu Azian (Azean Irdawaty), diamanahkan oleh Pak Langnya mewarisi dan menguruskan sebuah sekolah iaitu kolej swasta di Johor Bahru yang teruk. Semasa beliau mendapat amanah tersebut beliau tidak mengetahui cerita disebalik kolej tersebut. Semasa dalam perjalanan ke kolej tersebut, beliau terlanggar bas dari sebuah sekolah terbaik di situ, Sekolah Datuk Panglima, yang dalam perjalan balik dari perlawanan bola tampar. Tanpa disedari, beliau terjumpa dengan seorang rakan lama semasa beliau belajar di maktab perguruan iaitu Cikgu Bakar. Cikgu Bakar menunjukan laluan ke Sekolah Mahmood Baginda. Pada waktu tersebut, baru beliau sedar apa yang beliau sangkakan hanya` indah khabar dari rupa'.
Cikgu Azian hampir putus asa dan ingin menjual kolej tersebut kepada pihak lain. Tetapi, atas dasar ingin mendidik anak bangsa dan meneruskan kerja-kerja yang telah ditinggalkan oleh allahyarham pak langnya. Beliau hampir putus asa semasa beliau memerhati sekitar kawasan tersebut. Di waktu kesedihan melanda dirinya, guru-guru seperti guru penolong kanan iaitu Cikgu Ismail (Chef Wan), guru muzik iaitu Cikgu Hassan (Jaafar Onn) dan guru matematik iaitu Cikgu Rosemarie (Louisa Chong) sedia memikul beban untuk mendidik anak bangsa agar tidak ketinggalan. Plot penceritaan meningkat apabila Mat Tom (Benjy) dan rakan-rakan menerima cabaran yang diberikan oleh Imah (Dilla Ahmad) untuk menentang pasukan bola tampar Sekolah Datuk Panglima. Kekusutan berlaku apabila tiada pelajar yang berani menyertai pasukan bola tampar sekolah untuk menentang Sekolah Datuk Panglima. Sementara itu, Cikgu Azian telah mengubah identiti sekolah supaya dapat memberi semangat baru kepada pelajar selepas disedarkan oleh Cikgu Syukri (Jalil Hamid) yang membantu Cikgu Azian menyedarkan semua guru dan pelajar di situ. Beberapa hari kemudian, Cikgu Azian mengambil tindakan drastik dengan memecat beberapa orang guru, termasuk Cikgu Syukri, atas ketidakbertanggungjawab terhadap pelajar.
Selepas Cikgu Azian memecat 2 orang guru wanita, iaitu Cikgu Uji dan Cikgu Dahlia (Haizatul Rodzie) mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap Cikgu Azian. Tetapi gagal apabila Cikgu Azian memanggil wakil dari pejabat pelajaran daerah untuk menyiasat tentang guru yang tidak melaksanakan tanggungjawab mengajar pelajar.Cikgu Azian pada mulanya menentang cadangan untuk melakukan perlawanan persahabatan dengan Sekolah Datuk Panglima. Akan tetapi, beliau menerima semula cadangan itu. Beliau memanggil semula Cikgu Syukri supaya membimbing semula pasukan bola tampar sekolah. Beliau menentang tetapi telah datang semula apabila dicabar oleh Cikgu Bakar.
Pemain harapan, Sharif (Md Zaizolyzam Md Esa), menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan pembelajaran di sekolah tersebut. Semasa pasukan ini berlatih, pengintip dari Sekolah Datuk Panglima datang. Beliau mengenalpasti bakat Sharif dan masalah yang dihadapinya.Ketua pasukan, Din (Zazly) telah melakukan satu permainan kotor agar dapat menjaga reputasi sebagai pasukan terbaik negeri.
Semasa perlawanan diadakan, pasukan Sekolah Mahmood Baginda kalah pada set pertama. Mereka kehilangan tonggak utama, Sharif, yang diberi rasuah supaya menarik diri dari pertandingan. Tetapi hal telah diketahui oleh sepupunya, Imah dan memarahinya kerana menerima rasuah dan mengugut mahu memberitahu ayah Sharif. Sharif menyatakan ayahnya tidak akan ambil peduli hal itu kerana ayah Sharif sudah tidak mampu menanggung pelajaran Sharif dan menjelaskan dia terpaksa menerima wang rasuah itu untuk membiayai yuran SPMnya kerana Sharif masih mahu belajar. Imah pergi dari situ dengn marah membuatkan Sharif membuat keputusan untuk tidak menerima wang rasuah kerana rasa bersalah lalu memulangkan wang tersebut dan berjaya membantu pasukan memenangi set kedua. Mata pasukan Sekolah Mahmood Baginda semakin hampir menyebabkan ketua pasukan lawan bermain taktik kotor dengan menolak Sharif supaya tangannya tercedera. Saat genting berlaku apabila mata kedua-dua pasukan seri kerana atas pertolongan Sharif,Mat Tom menjadi hero memberi mata kepada Sekolah Mahmood Baginda. Semasa pasukan Sekolah Mahmood Baginda ingin membuat servis, berlaku kekeliruan hantar jurulatih dan pemain pasukan Sekolah Datuk Panglima. Atas kesilapan ketua pasukan, servis yang dilakukan oleh pemain Sekolah Mahmood Baginda memberikan kemenangan kepada sekolahnya dan berjaya menundukkan ego pasukan Sekolah Datuk Panglima. Atas ganjaran tersebut, mereka semua dibawa ke Langkawi.
Pelakon
Azean Irdawaty sebagai Azian, Pensyarah Kolej Utama kemudian menjadi Pengetua Maktab Mahmud Baginda dan waris tunggal Mahmud Baginda
Jalil Hamid sebagai Syukri, Bekas kekasih Azian semasa alam persekolahan dan guru sukan Maktab Mahmud Baginda kemudian menjadi Jurulatih Bola Tampar dan seorang Duda & kuat tidur dalam stor
Jalaluddin Hassan sebagai Bakar, Kawan kepada Shukri dan Azian syang mengajar di Sekolah Dato Panglima dan jurulatih Bola Tampar
Benjy sebagai Mat Tom, Pelajar senior Mahmud Baginda gemar makan lolipop dan usulkan penubuhan Bola Tampar
Dilla Ahmad sebagai Imah, Kawan kepada Sharif dan Mat Tom
Chef Wan sebagai Cikgu Ismail, Penolong Guru Kanan Maktab Mahmud Baginda perwatakan Nerd dan mudah marah
Jaafar Onn sebagai Cikgu Hassan, Guru mata pelajaran Muzik dan cacat pendengaran (Pekak) semasa menjadi penyanyi
Louisa Chong sebagai Cikgu Rosemarie, Guru mata pelajaran Bahasa Melayu berbangsa Cina
Zazolyzam Md Esa sebagai Sharif, Ketua Bola Tampar Maktab Mahmud Baginda
Md Nasyrul Ilham sebagai Ketua Pelajar
Mohazam Razeli sebagai Azli Buntal, Kawan Mat Tom, Ravi dan Syarif
Zazly Baginda sebagai Din, Ketua Bola Tampar Sekolah Dato Panglima, seorang memandang rendah
Haizatul Rodzie Hamidon sebagai Cikgu Dahlia, Guru Maktab Mahmud Baginda yang memetingkan kecantikan dan tidak bertanggungjawab
Ruhani Ujang sebagai Cikgu Uji, Guru Maktab Mahmud Baginda kerap membuat jualan semasa bertugas
CD Rahman sebagai Ravi
Kirin Lim sebagai Kerry BFF Imah
Ulasan
Keseluruhan
Filem menunjukan moral yang tinggi yang perlu ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Walaupun gagal dari segi kutipan, filem ini mendapat tempat dalam pelbagai pertandingan. Lakonan yang ditunjukkan oleh Azean Irdawaty dan Jalil Hamid agak bagus. Filem ini mementingkan nilai pengajaran yang tinggi walaupun filem ini bergenre komedi. Filem ini merupakan filem yang bagus kerana tidak mempunyai lawak yang kosong.
Lawak Teguran
Jika dibandingkan dengan filem zaman 2000, contohnya Sifu & Tongga , filem ini lebih sesuai ditonton kerana menujukkan sebuah karya yang bermutu dan sarat dengan kritikan sosial berbanding filem Sifu & Tongga. Sifu & Tongga sekadar ingin memperkenalkan pelakon yang popular, Nabil Ahmad dan filem Sifu & Tongga dilihat sekadar lawak yang tidak memberi mesej kepada penonton.
Trivia
Md Zaizolyzam Md Esa (Sharif), Mohazam Razeli (Azli Buntal) dan Md Nasyrul Ilham (Ketua Pelajar) adalah finalis rancangan Sinaran TV3 pada tahun 1996.
Filem ini adalah filem lakonan pertama untuk Benjy, Dilla Ahmad dan Haizatul Rodzie Hamidon.
Zazly Baginda membawa tuah kepada beliau kerana banyak tawaran berlakon selepas filem Baginda dan nama itu kekal sehingga hari ini.
Penggambaran dijalankan di Klang, Selangor untuk latar belakang Johor Bahru manakala adegan Azian berjumpa dengan peguam Mahmud Baginda di rumahnya hanya di Sri Pentas yang juga adegan pejabat Kolej Utama.